10 kesilapan orang mulakan bisnes

Biasa tengok atau dengar tak mereka yang pada mulanya bukan main bersemangat nak ubah hidup dengan menjalankan bisnes, tapi akhirnya tak sampai ke mana pun?

Silapnya bukan kerana bisnes atau peluang yang dia ceburi tetapi ada beberapa perkara yang dibuat secara tak sedar yang menyebabkan orang tu tak boleh bertahan lama.

Jadi di sini saya akan kongsikan 10 perkara silap yang biasa orang baru mula bisnes buat.

  1. Nak kaya cepat

Siapa yang tak nak kaya kan? Sebab kita tahu dengan jadi lebih kaya kita tak perlu bergantung dengan sesiapa pun. Sebab kita tahu bila susah tiada sesiapapun yang akan pandang atau tolong kita. Mungkin ada tetapi sukar untuk berharap.

Dalam bisnes kita kena faham dan hormati proses. Mana ada kita buat bisnes terus jadi kaya.

Kita anggaplah proses permulaan 1 – 2 tahun itu sebagai pembelajaran kita. Jadi jika apa-apa yang berlaku tidak seperti yang kita rancang, kita masih boleh melangkah ke depan tetapi bukannya terus mengalah.

2. Berniaga terus nak jadi jutawan

Ini juga akan memakan diri sendiri.

Kita jangan bandingkan diri kita dengan orang yang sudah jadi jutawan kerana berbisnes. Kita kena faham proses yang kita perlu lalui untuk capai ke tahap itu. Beri masa kepada diri kita untuk terus tingkatkan ilmu perniagaan dan pemasaran.

Jangan jadikan diri kita stress kerana terlalu mengejar kekayaan itu, apa yang penting kita terus seronok dengan apa yang kita buat pada masa yang sama kita terus maju ke depan dalam bisnes kita.

3. Nak bisnes jadi berskala besar terus

Perkara yang hebat bermula dengan langkah yang kecil.

Kita tidak akan dapat menawan gunung jika kita belum lagi menawan bukit.

Pastikan kita memperoleh kejayaan demi kejayaan walaupun ianya kecil. Ini kerana dengan meraikan kejayaan yang kecil mengesahkan kepada diri kita sendiri bahawa kita boleh buat sekaligus menyediakan kita untuk mencipta kejayaan yang lebih besar.

4. Pendapatan berdasarkan ilmu

Jangan malas untuk menuntut ilmu baru.

Dalam dunia perniagaan sekarang ini, kita tidak dapat tidak mesti mendalami ilmu berkaitan dengan bisnes secara digital. Ini kerana orang ramai semakin menerima medium online ini untuk urusan harian, jual beli dan sebagainya.

Jika kita tidak mahu menuntut ilmu maka menjadi sukar untuk kita bertahan.

Dengan adanya ilmu kita akan jadi semakin yakin dan nampak jalan untuk kita mencapai impian dalam bisnes.

5. Tidak susun langkah demi langkah

Kita mesti tahu apa yang kita nak buat.

Selepas selesai satu tugasan kita sudah ada 10 yang di hadapan kita.

Kita seperti sudah ada peta tugasan yang kita perlu pergi dan buat untuk kita sampai di tempat yang ingin dituju.

6. Tidak fokus dengan apa yang di tangan

Fokus itu adalah tenaga.

Jika kita tidak fokus, tenaga itu akan berpecah.

Di mana kita fokus maka di situ tenaga itu akan tertumpu.

Jadi kita kena fokus dengan pasaran kita, bisnes kita dan produk kita. Pastikan kita berjaya capai kebebasan kewangan atau matlamat kewangan kita dengan satu perniagaan terlebih dahulu sebelum kita membuka bisnes yang lain.

Dengan ini kita sudah menguasai selok belok perniagaan yang sebenar, tetapi jika kita ada banyak sangat bisnes maka kita akan jadi celaru dan seperti berpusing di dalam satu bulatan. Ini kerana kita belum lagi dapat nampak jalan untuk membina bisnes yang berjaya tetapi kita sudah membuat bisnes yang lain pula.

7. Nak cipta produk ajaib.

Nasihat mereka yang berjaya dalam bisnes adalah mulakan apa yang mudah dicapai oleh tangan anda.

Atau ianya seperti mengambil buah yang mudah dipetik dari pokok yang renek.

Pada zaman kita, kita tidak perlu memiliki produk kita sendiri. Kita boleh jadi ejen bebas untuk sesuatu syarikat atau produk untuk kita biasakan diri kita dengan dunia perniagaan terlebih dahulu.

8. Tiada keyakinan diri

Keyakinan diri adalah umpama minyak atau darah untuk kita terus berjalan dan hidup dalam bisnes.

Jika tiada atau kurang keyakinan diri maka kita akan berisiko untuk mudah berputus asa dan kembali di tempat awal kita bermula.

Untuk terus positif, penting untuk kita menjauhkan diri kita dari input yang negatif samada dari media, kawan-kawan atau pemikiran kita sendiri.

Kita kena hadirkan diri kita bersama yang positif setiap hari. Ini termasuklah mempunyai rakan media sosial yang berkongsi banyak dengan hal-hal yang positif.

9. Sikap pekerja dibawa dalam dunia bisnes

Cara fikir kita jika kita mahu jadi usahawan yang berjaya kena diubah.

Kita kena belajar macam mana pemikiran usahawan berjaya. Ini kerana mindset atau cara fikir seorang yang sudah lama bekerja makan gaji dengan mereka yang bergantung kepada bisnes untuk kelangsungan hidup mempunyai cara fikir yang jauh berbeza umpama langit dan bumi.

Salah satu sikap usahawan yang berjaya adalah, mereka tidak akan senang dengan zon selesa kerana bagi mereka zon selesa ini punca kejayaan seseorang itu meninggal dan terkubur.

10. Nak untung banyak tetapi tidak konsisten

Kita kena konsisten dalam semua perkara dalam juzuk bisnes ini.

Konsisten atau berterusan dengan pemasaran, iklan, follow up dan servicing pelanggan kita.

Contohnya pemasaran. Kalau kita sekadar memasarkan produk kita di whatsapp atau media sosial yang lain 2, 3 atau 4 kali sahaja macam mana orang nak tahu apa sebenarnya bisnes atau produk yang kita bawa?

Kalau sekali sahaja mereka nampak mungkin mereka tidak faham dan jelas lagi apa kelebihan bisnes atau produk yang kita cuba tawarkan.

Sebab itu, orang akan mula tahu dan percaya untuk berurusan dengan kita jika kita tanpa jemu membuat aktiviti yang produktif dalam bisnes kita.

Saya harap 10 poin ini akan dapat membantu anda untuk terus gagah dalam membina bisnes impian anda.

Salam jumpa lagi di masa akan datang!

One Comment

Leave a Reply